MISI & VISI SYARIKAT

KOMITED DALAM MEMBERI PERKHIDMATAN YANG CEMERLANG UNTUK KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN KEPADA PELANGGAN

DETIK WAKTU

Kuala Lumpur

Tuesday, November 2, 2010

MAKLUMAT AWAL MENGENAI LANGKAH-LANGKAH AJK PPKKM TERHADAP ISU KENAIKAN GAJI PENGAWAL KESELAMATAN

Sebagaimana Y.Bhg Tan Sri/Dato' Seri/Datuk/Dato'/Datin/Tuan/Puan sedia maklum bahawa buat julung kalinya di dalam sejarah bahawa pengumuman kenaikan gaji pengawal keselamatan diumumkan di salam Pembentangan Bajet 2011 oleh YAB Perdana Menteri pada 15 Oktober 2010 yang lalu. YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pengawal keselamatan akan menerima kenaikan gaji pokok diantara RM500.00 hingga RM700.00 mulai 1 Januari 2011. perkara ini adalah susulan daripada pengumuman yang telah dibuat oleh menteri Sumber Manusia pada bulan April 2010 yang lalu bahawa kenaikan gaji pengawal keselamatan dinaikkan berkuatkuasa 1 Julai 2010. Walau bagaimanapun hasil daripada usaha AJK PPKKM , kenaikan gaji tersebut telah ditangguhkan. Penangguhan tersebut adalah disebabkan pihak kerajaan tidak mempunyai peruntukan tambahan bagi menampung harga kontrak semasa pada ketika itu. Pengumuman YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di dalam Pembentangan Bajet 2011 memberikan indikasi bahawa pihak kerajaan telah bersedia memberikan peruntukan tambahan untuk industri kawalan keselamatan. AJK PPKKM berkeyakinan bahawa pihak kerajaan telah memberikan pertimbangan yang sewajarnya untuk menambah bajet khusus untuk kawalan keselamatan sebelum pengumuman kenaikan gaji dibuat tetapi tidak mengetahui berapakah jumlah yang akan diperuntukan.

Susulan daripada itu, AJK PPKKM telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 20 Oktober 2010 bagi mengenalpasti langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjaga kepentingan semua Ahli PPKKM. Berikut adalah langkah-langkah yang akan dilaksanakan:

1. Mengadakan perjumpaan dengan pihak Kementerian Kewangan pada minggu terakhir bulan oktober 2010 untuk mengetahui peratusan peruntukan yang akan ditambah terhadap harga kontrak sediaada. AJK PPKKM juga akan mencadangkan kepada pihak Kementerian Kewangan mengenai kadar harga yang bersesuaian selaras dengan kadar gaji yang akan dikuatkuasakan pada bulan Januari 2011.

2. Mengadakan perjumpaan dengan pihak Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan semua Kementerian yang menggunakan khidmat kawalan keselamatan swasta pada minggu terakhir bulan Oktober dan minggu pertama bulan November 2010 yang bertujuan untuk mengetahui respon daripada semua Kementerian. AJK PPKKM akan juga memberikan cadangan dan usul supaya semua kementerian menaikkan kadar harga perkhidmatan kawalan keselamatan swasta kepada satu kadar yang bersesuaian dengan gaji yang akan dinaikkan.

3. AJK PPKKM juga akan memberikan usul kepada Kementerian Sumber Manusia iaitu negeri Sarawak dan Sabah dikeluarkan daripada Kawasan B dan C dan dimasukkan ke dalam Kawasan D.

4. Kenaikan gaji pengawal keselamatan sudah tentunya akan memberikan faedah jangka panjang kepada industri kawalan keselamatan. Walau bagaimanapun, kesan jangka pendek dengan tempoh perlaksanaan yang terlalu hampir akan memberi impak kewangan kepada kebanyakan pengusaha kawalan keselamatan. Oleh itu, AJK PPKKM akan menggesa kerajaan untuk menubuhkan dana dalam bentuk geran atau tabung sebagai langkah menyelamatkan syarikat daripada terjerumus di dalam masalah kewangan.

5. Setelah memperolehi maklumat daripada Kementerian-kementerian serta kadar harga yang dipersetujui, pihak AJK PPKKM akan bertindak mengiklankannya di dalam semua suratkhabar Bahasa Melayu dan Inggeris. Sidang akhbar juga akan diadakan untuk memaklumkan kadar harga baru perkhidmatan kawalan keselamatan. Semua Ahli PPKKM kemudiannya diminta untuk menghantar surat kepada pelanggan-pelanggan di dalam sektor swasta untuk menaikkan kadar harga kontrak semasa kepada kadar harga yang bersesuaian.

Semua Ahli PPKKM adalah dimohon untuk tidak menetapkan kadar harga kontrak terlebih dahulu. Pihak AJK PPKKM akan memaklumkan penetapan kadar harga kontrak yang baru pada minggu pertama bulan November 2010.

Semua Ahli PPKKM akan dimaklumkan mengenai perkembangan isu kenaikan gaji pengawal keselamatan dari masa ke semasa

sekian, kerjasama dan perhatian Y.Bhg Tan Sri/Dato' Seri/Datuk/Datin/Tuan/puan diucapkan ribuan teima kasih.

Daripada : PPKKM/TADBIR/5443 - 25 Oktober 2010